JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, July 15, 2009

RAKYAT SARAWAK DI ARAH MENGUNDI DI SEMENANJUNG - APA MOTIF ???


KUCHING: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri Dr James Masing menyarankan agar rakyat Sarawak yang tinggal di Semenanjung Malaysia mendaftar sebagai pengundi di sana.

Menurut beliau, sekiranya mereka mendaftar di sana ia memberi kesan signifikan yang hebat untuk membina kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana majoriti daripada mereka akan mengundi BN.

“Kita mempunyai lebih kurang 100,000 rakyat Sarawak yang bekerja di Semenanjung dan kalau mereka mendaftar di sana ia sesuatu yang akan memberikan kebaikan kepada BN,” katanya dalam sidang media di sini.

Sehubungan itu, Masing menyarankan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar melihat perkara tersebut kerana kebanyakan daripada rakyat Sarawak yang tinggal di Semenanjung tidak dapat balik untuk mengundi semasa pilihan raya kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

“Sebagaimana yang kita sedia maklum mereka yang tinggal di sana hanya dapat menggunakan pengangkutan udara untuk pulang ke negeri ini dan ia memerlukan kos yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata, bagi rakyat Sarawak yang belum mendaftar sebagai pengundi, kenapa tidak biarkan mereka mendaftar di tempat masing-masing dan sekiranya 100,000 orang itu mengundi di sana ia djangka akan membawa kesan positif.

“Misalnya di Johor terdapat lebih kurang 40,000 rakyat kita, sekiranya 20,000 daripada mereka mendaftar dan mengundi dan seperti yang kita ketahui majoriti daripada mereka akan berpihak kepada BN terutamanya kaum Dayak.

“Jadi biarkan mereka mengundi di sana dan ia akan menentukan kekuatan BN kerana rakyat kita pasti akan mengundi parti komponen kerajaan,” jelasnya.

Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah berkata, perkara sedemikian harus diambil kira dan beliau menyarankan SPR membenarkan mereka mendaftar sebagai pengundi di kawasan masing-masing.

“Kita merasakan kerajaan akan mengambil serius perkara ini dalam mempertingkatkan kekuatan BN di Semenanjung untuk pilihan raya berikutnya dan saya pasti ia untuk kebaikan kerajaan BN dan kerajaan persekutuan.

“Kita amat sedih apabila dimaklumkan jumlah rakyat negeri ini yang tinggal di Semenanjung dan tidak mengundi adalah banyak.

“Jika mereka tidak dapat pulang mengundi di negeri ini adalah lebih baik mereka mengundi di sana,” jelas Masing.

Menurut beliau ia sudah menjadi tanggungjawab mereka sebagai rakyat untuk keluar mengundi dan mereka berhak memilih kerajaan yang mereka inginkan.

Sementara itu mengulas mengenai harga tambang musim perayaan Gawai, Masing menjelaskan ia adalah harus selari dengan musim perayaan lain sebagaimana konsep 1Malaysia.

Isu itu kata beliau dibangkitkan oleh Pengerusi Kelab Sosial PRS Johor Henry Buan ketika mereka mengadakan perjumpaan dalam Majlis Ngiling Bidai yang diadakan di Johor pada 11 Julai lalu.

“Ini kerana apabila tiba sahaja musim Gawai harga tambang akan naik namun turun apabila musim perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya,” tegasnya.

Katanya, bagi rakyat Sarawak dan Sabah, mereka hanya mempunyai satu-satunya pengangkutan iaitu udara dan apabila harga tambang meningkat ia membebankan mereka yang ingin pulang ke kampung.

Beliau berkata sejajar dengan konsep 1Malaysia, sekiranya harga tambang turun semasa sesuatu perayaan, maka perayaan lain juga harus sedemikian.

Masing berkata, apabila meminta penjelasan daripada syarikat penerbangan mereka mengatakan ia adalah kerana permintaan yang tinggi.

“Kalau dari segi menjana ekonomi kita tidak dapat menolak, namun apa yang pasti semasa perayaan lain juga permintaan tetap tinggi tetapi harga tambang mereka tetap turun dan ini sudah tidak selari dengan konsep 1Malaysia,” jelas beliau.

Katanya walapun isu itu bukan di bawah bidang kuasanya namun ia perlu diketengahkan untuk kebaikan semua.

“Kita berharap pihak berkuasa pengangkutan mempertimbangkan perkara ini dan memperjelaskan kepada kita kenapa perlu ada perbezaan harga tambang yang melibatkan sambutan perayaan di negara ini,” jelasnya.

Masing berkata setakat ini Kelab Sosial PRS di Semenanjung mempunyai tiga cawangan sejak ia ditubuhkan tiga tahun lalu iaitu di Kelab Sosial PRS di Labuan, Kuala Lumpur dan Johor dan setiap tahun kelab akan menganjurkan aktiviti terutamanya apabila musim perayaan Gawai Dayak.

Malah di Johor terdapat tamu disediakan kepada rakyat Sarawak dan kawasannya sangat baik manakala peratusan peruntukan lebih tinggi diberikan kepada penjaja.

“Harga juga adalah sangat berpatutan dan kita amat berterima kasih kepada kerajaan negeri Johor kerana memberi peluang perniagaan kepada rakyat Sarawak yang tinggal di sana,” katanya.

borneopost

No comments: